Seni Lakonan
KESENIAN Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah s.w.t. kesenian islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syara’.
Dalam jiwa, perasaan, nurani, dan keinginan manusia tertanamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni. Sebenarnya, kesedaran mengenai keindahan adalah satu faktor yang amat penting dalam Islam. Antara faktor yang penting dalam seni ialah hakikat, ketulenan/kesucian, kejujuran dan semua ini terjalin dalam jiwa orang-orang Islam. Seni menjadi bahan perantaraan yang menghubungkan satu jiwa pencipta dengan satu jiwa lain, iaitu pengamat.
Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata. Sukar untuk mentakrifkan seni secara tepat sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri.
Hukumnya Harus dengan bersyarat :
- Tidak boleh memunculkan watak tokoh-tokoh seperti Rasul, Nabi dan khalifah kerana boleh menghilangkan kekudusan mereka.
- Tiada fenomena lucah dan percampuran jantina, kegiatan zina dan pendedahan arak.
- Tidak pendedahan aurat
- Drama mesti berkepentingan kepada agama, ilmu pengetahuan, pendidikan, moral, individu, keluarga atau masyaratkat.
- Islam dijadikan asas akidah dan panduan akhlak.
- Skrip drama ditulis oleh penulis Islam yang bertujuan menyampaikan risalah Islam semata-mata.
Al-Farabi menjelaskan bahawa seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.
Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk ‘memeriahkan’ kebesaran Allah. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara makruf (kebaikan), halal, dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah s.w.t. Fungsi seni lebih kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaan-Nya.
Di Malaysia hanya negeri Kedah mengeluarkan fatwa tentang drama manakala jabatan mufti lain-lain negeri tidak mengeluarkan sebarang fatwa. Fatwa yang dikeluarkan di Kedah tentang drama berbunyi seperti berikut
"Drama-drama yang bertujuan mendidik masyarakat dan membantu mengembangkan ajaran Islam dibenarkan dengan syarat beberapa kriteria seperti berikut" :
- Hanya apa yang perlu ditunjukkan
- Ia dilaksanakan hanya dengan niat untuk mendidik.
- Apa yang ditunjukkan mestilah tidak bias terhadap Islam dan memelihara kemurniaan Islam.
Jabatan Mufti Negeri Perlis menfatwakan berkenaan hukum menonton televisyen atau wayang. Perkara tersebut dibenarkan dengan mengambil kira nature dan tema filem-filem berkenaan iaitu untuk mendidik dan manfaatkan untuk masyarakat.
Beberapa Hukum Tentang Seni Lakonan
Beberapa Hukum Tentang Seni Lakonan
- Pelakon lelaki melakonkan watak perempuan adalah haram begitu juga sebaliknya.
- Melakonkan adegan minum arak walaupun menggunakan air masak atau air teh adalah haram.
- Berlakon sebagai orang kafir yang menyembah berhala atau pergi ke kuil adalah haram.
- Melakonkan adegan ranjang atau menunjukkan keintiman antara pasangan lelaki dan perempuan adalah haran walaupun pelakon berkenaan merupakan pasangan suami isteri.
- Filem atau drama yang menunjukkan cara-cara melakukan jenayah yang mencetuskan idea kepada menonton untuk melakukan kejahatan atau meransang penonton untuk menjadi jahat adalah haram.
- Filem atau drama yang menimbulkan syahwat adalah haram dihasilkan dan ditonton.
- Menghasilkan filem atau drama yang boleh menginsafkan, boleh mengajak orang lain berbuat kebaikan atau meransang orang lain untuk beribadah akan diberi ganjaran pahala yang amat besar dan berkekalan sebagai amal jariah.
Kesimpulannya, konsep kesenian menurut perspektif Islam ialah membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabadian diri kepada Allah s.w.t. Seni dibentuk untuk melahirkan manusia yang benar-benar baik dan beradab. Motif seni bermatlamatkan kebaikan dan berakhlak. Selain itu, seni juga seharusnya lahir sebagai satu proses pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari daripada batas-batas syariat.
No comments:
Post a Comment